Artikel

Atlet

10 Atlet Johor Yang Bakal Menggegarkan Sukma 2020

Dikalungkan pingat emas di hadapan penonton sendiri pastinya menjadi salah satu impian bagi setiap atlet negeri tuan rumah. Edisi SUKMA ke-20 menghidangkan peluang keemasan buat atlet negeri Johor untuk memahat nama dalam lipatan sejarah selepas 28 tahun Johor menanti giliran penganjuran kembali ke Darul Takzim.

Kenali 10 atlet Johor yang bakal menggegarkan SUKMA 2020 nanti.

1. Goh Chiao Huey – Bola Tampar
Goh Chiao Huey

Mula mewakili negeri Johor dalam sukan Bola Tampar sejak berusia 11 tahun, Goh Chiao Huey berada dalam kelasnya tersendiri. Menggalas tanggungjawab sebagai kapten, Chiao Huey yakin pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik pada SUKMA2020 Johor untuk meraih pingat emas.

Juara dalam Kejohanan Bola Tampar Dewan Remaja (Bawah 20 tahun) yang berlangsung di Perak tabun lalu, Chiao Huey menanam impian untuk membarisi skuad Bola Tampar Malaysia sebelum mencecah umur 23 tahun.

Pemain bola tampar Thailand, Nootsara Tomkom menjadi idola kepada Chiao Huey dan dia berharap mereka berpeluang untuk bertemu sebagai pihak lawan satu hari nanti.

2. Haw Jia Wei – Bola Keranjang
Haw Jia Wei

Diletakkan di posisi Power Forward, kelincahan Haw Jia Wei telah membantu pasukannya meraih pingat emas di SUKMA 2018 Perak.

Memiliki tubuh badan tinggi dan besar merupakan kelebihan buat Jia Wei untuk bersaing secara fizikal ketika membuat jaringan mahupun melakukan rebound.

Berhasrat mengulangi kejayaan manis di halaman sendiri pada Julai 2020 nanti, Jia Wei optimis dia dan pasukannya akan memberikan persembahan terbaik buat rakyat Johor yang datang bersorak untuk mereka nanti sekaligus menyumbang pingat emas buat kontinjen Johor.

Beliau meminati pemain NBA, DeMar DeRozan yang berasal dari Compton, California.

3. Aizat Iqbal – Silat Olahraga
Aizat Iqbal

Enam tahun memerah keringat dalam gelanggang silat, Aizat Iqbal Anuar merupakan antara pesilat negeri Johor yang berpotensi melakar kejayaan di pentas SUKMA 2020.

Membabitkan diri dalam sukan silat sejak berumur 14 tahun, banyak memori suka duka dialami oleh atlet kelahiran tahun 1999 ini.

Berpeluang menimba pengalaman di peringkat antarabangsa, Aizat mencuri tumpuan ramai apabila menewaskan lawannya yang disenaraikan sebagai nombor 2 dalam persada silat dunia di Kejohanan UNJ Open Championship 2019 di Jakarta, Indonesia.

Dengan disiplin dan latihan intensif, Aizat Iqbal memberikan 100% fokusnya untuk mengharumkan nama Johor di SUKMA 2020 dan berazam untuk menjadi The Great Fighter seperti idolanya, Buakaw Banchamek – seorang lagenda dalam arena sukan kombat (Muay Thai).

4. Muhammad Haziq – Tinju
Muhammad Haziq

Walaupun baru setahun membuat debut dalam arena sukan tinju, Muhammad Haziq Mohd Rizal atau Haziq telah memenangi beberapa perlawanan di peringkat kebangsaan. Penerima anugerah Potential Boxer di acara Johor Bahru Mayor’s Boxing Cup, bakat Haziq dikenal pasti selepas sering menyertai pertandingan sukan Muay Thai.

Dengan asas yang dimiliki serta semangat juang tinggi yang tidak mengenal erti sakit dan tidak mudah berputus asa, dia dibawa ke gelanggang tinju. Tumbukan padu serta kelincahan kakinya mengatur rentak menjelmakan pingat perak pertamanya di Kejohanan Tinju Pesta Pulau Pinang (Belia) 2018.

Mendapat tunjuk ajar daripada bekas petinju negara yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 Kuala Lumpur, anak didik Zulkifli Yaacob ini antara atlet yang berpotensi cemerlang seperti Muhammad Farkhan (peninju profesional Johor) yang mempertahankan pingat emas Johor dalam penyertaanya di empat edisi SUKMA berturut-turut (2004, 2006, 2008, 2010).

Haziq yakin dapat mendominasi gelanggang SUKMA 2020 dan akan terus memburu cita-citanya untuk menyarung tali pinggang juara WBC (World Boxing Council) Asia.

5. Nurul Syasya Nadiah – Sukan Menembak
Nurul Syasya Nadiah

Genetik adalah salah satu faktor dalam melahirkan atlet handalan. Nurul Syasya Nadiah antara permata sukan ‘semulajadi’ hasil penglibatan aktif ibubapanya dalam arena sukan menembak.

Atlet berusia 20 tahun ini bukan sahaja memenangi dua pingat emas pada SUKMA 2018 Perak, malah mencipta rekod baharu dalam kategori 10M Air Pistol dan 25M Sport Pistol. Syasya turut memenangi pingat emas di 1st Indonesian Shooting Championship Open Tournament 2019.

Syasya menyertai sukan menembak pada usia 15 tahun dan mula mewakili negeri Johor pada tahun 2017.

6. Dorcas Wee Shi Mei – Bola Keranjang
Dorcas Wee Shi Mei

Bermain bola keranjang semenjak berumur 10 tahun, Dorcas telahpun mewakili Malaysia bersama pasukan junior Bola Keranjang Kebangsaan sewaktu FIBA World Cup of Basktetball di Filipina dan Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN, di Thailand pada tahun 2016. Berbekalkan pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, beliau kini gigih berlatih setiap hari bersama pasukannya agar Johor menjadi juara di SUKMA 2020.

Seorang yang mementingkan keseimbangan antara bersukan dan akademik, Dorcas gemar membaca buku dan meluangkan masa bersama teman-temannya di masa lapang.

Bangga menjadi seorang anak Johor, Dorcas bercita-cita untuk meyumbang apa yang telah dipelajarinya melalui sukan bola keranjang dengan menjadi seorang jurulatih di masa hadapan.

7. Siti Nor Aishah – Judo
Siti Nor Aishah

Seorang yang berhati waja, Aishah telahpun mewakili negara di Sukan SEA pada umur 18 tahun. Peminat sukan kombat ini juga gemar berlatih seni Muay Thai dan Tinju tetapi hanya untuk tujuan rekreasi.

Walaupun sedang menjalani sesi pemulihan dari satu perlawanan yang epik, di mana Aishah mengalami kecederaan lutut sewaktu bertarung (tetapi masih berjaya menjadi johan), beliau tetap gigih berlatih untuk beraksi di SUKMA 2020.

Gadis sopan ini mengidolakan pemain judo dari Ukraine, Daria Bilodid yang telah dua kali menjadi Johan Dunia pada umur 16 tahun. Ujar Aishah, Daria berpegang kepada motto “Apa yang aku nak, aku buat” yang membuatnya terus komited dalam sukan judo.

8. Muhd. Khairul Shaddad – Seni Silat
Muhd. Khairul Shaddad

Minat Khairul Shaddad Ardi dalam sukan silat seni mula bercambah apabila menyertai Persatuan Silat Panglima Bugis di daerah Kulai, Johor yang didorong oleh abang iparnya. Walaupun hanya menjalani latihan selama 8 bulan, Shaddad terus menyertai pertandingan pertamanya ketika berumur 14 tahun.

Pemenang pingat gangsa di Kejohanan UNJ Open Championship 2019 di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, Shaddad bertekad untuk mengubah warna pingat gangsa yang dimenanginya pada SUKMA 2016 di Sarawak ke warna emas pada SUKMA Johor 2020 yang merupakan penampilan ketiganya di pentas dwi-tahunan itu.

Shaddad beraspirasi menyertai pasukan Silat Kebangsaan dan bercita-cita untuk menjadi jurulatih silat suatu hari nanti.

9. Mohd. Aniq Kasdan – Angkat Berat
Mohd. Aniq Kasdan

Merubah haluan sukan dari hoki ke angkat berat, Mohd Aniq Kasdan membuktikan atlet transfer talent mempunyai peluang kedua untuk menyinar.

Minat Aniq untuk menyertai sukan angkat berat lahir apabila mengikuti abangnya ke dewan latihan SMK Bandar Putra, Segamat. Bermula dengan niat untuk hanya suka-suka, potensinya dikenal pasti oleh jurulatih Johor – Yon Haryona yang berasal dari Metro, Lampung, Indonesia.

Tragedi kemalangan yang menimpa abangnya hingga menyebabkan kehilangan upaya kekal menambah tekad buat Aniq untuk sentiasa membuat angkatan terbaik di setiap kejohanan yang disertainya.

Berkecimpung secara serius dalam sukan angkat berat pada 2017, Aniq telah berjaya menaiki podium tempat ke-3 ketika pertama kali bertanding di Sarawak Weightlifting Open (kategori Junior dan Senior). Penyertaan pertamanya di pentas SUKMA pada 2018 juga mencatat memori indah apabila berjaya meraih pingat perak kategori 56kg. Aniq turut memasang impian untuk membutirkan pingat emas pada penampilan keduanya nanti.

Di persada antarabangsa pula, Aniq berjaya meraih tiga pingat emas di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa, Indonesia yang berlangsung pada bulan September 2019 di Senawang, Jakarta.

10. Akmal Darwisy Abdul Rahim
Akmal Darwisy Abdul Rahim (kanan)

Mencuri tumpuan dengan menjadi atlet paling muda menyertai SUKMA Perak 2018, Akmal Darwisy Abdul Rahim membuktikan pemilihan dirinya ke dalam skuad boling padang negeri Johor bukan sekadar untuk pendedahan, apabila dia berjaya menyumbangkan pingat perak pada usia 10 tahun.

Berada dalam kelompok 5 terbaik (kategori bawah 12 tahun) Akmal antara sandaran emas kontinjen Johor apabila namanya tersenarai dalam Program Titanium 2020 (Ti20) MSNJ yang menjadi program elit buat atlet SUKMA Johor.

Selain boling padang, Akmal juga pandai bermain sepak takraw, malah pernah bertanding mewakili sekolahnya dalam sukan tersebut.

Meskipun perjalanannya dalam arena sukan masih panjang, Akmal memasang cita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti. Misi utamanya pada ketika ini ialah untuk menyaingi peserta lebih senior pada SUKMA 2020 nanti.

Metadata:
"10 Atlet Johor Yang Bakal Menggegarkan Sukma 2020" was posted on by the Rise Up Johor content team.
Articles section: 7866 views

Countdown To The 20th Sukma Games

SUKMA 2020 Maskot