Artikel

Sains Sukan

Mengapa Sorakan Penting Dalam Sukan?

Sukan di musim pandemik melalui suasana suram dan mendukacitakan. Stadium yang biasanya dipenuhi ramai penonton dengan kesepaduan suara yang dilontarkan demi meniup semangat pasukan kesayangan kini sepi dan tidak semeriah dahulu..

Alternatif yang kita biasa lihat dalam musim pandemik ini, tidak hanya di Malaysia, malah di negara luar, terutama dalam perlawanan bola sepak, suara penyokong yang bersorak tetap kedengaran melalui pita yang dimainkan. Walaupun ia hanya rakaman, tetapi jelas sorakan penonton menjadi penyeri dan nadi penting kepada sesebuah acara sukan itu untuk berlangsung secara berkesan. Sukan tanpa sorakan seperti jasad tanpa nyawa.

Kredit foto: Syamil Rosli, @pfamalaysia

Dalam sukan popular seperti bola sepak misalnya, sorakan penyokong adalah pemisah jelas antara perlawanan yang berlangsung di tempat sendiri dan tempat lawan. Semangat sesebuah pasukan akan terserlah ketika beraksi di tempat sendiri, bukan semata-mata kerana kekuatan pasukan itu, tetapi kerana tiupan semangat yang dilontarkan melalui suara penyokong. Apabila bermain di stadium kosong, nilai sesebuah perlawanan sama ada di tempat sendiri atau tempat lawan sudah tidak ada bezanya lagi.

Pasukan Harimau Malaya bakal berdepan dua baki saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 di Dubai pada 12 dan 16 Jun 2021 ini. Namun dalam situasi pandemik ini, apa yang boleh dilakukan hanyalah bersorak di hadapan kaca televisyen. Ia sudah tentu mengecewakan buat penyokong tegar Harimau Malaya yang sentiasa memberikan sokongan terus di stadium tidak kira di halaman sendiri atau ketika bertandang ke tempat lawan.

Kredit foto: FAM, @famalaysia
------------

Beberapa kajian psikologi sukan mendapati sorakan memberikan kesan positif bukan sahaja kepada seseorang atlet atau sesebuah pasukan, tetapi turut memberi kesan terhadap penyokong itu sendiri.

Sudah tentu sesebuah perlawanan akan memberikan kelebihan psikologi dengan kehadiran penonton dan perkara ini dijelaskan oleh pakar psikologi sukan dari Amerika Syarikat, Ethan Bregman yang menganggap bahawa sukan bukan semata-mata permainan fizikal, sebaliknya ia turut mempunyai perkaitan rapat dengan keupayaan minda seseorang atlet.

Sesebuah perlawanan tanpa sorakan menimbulkan rasa kosong dan motivasi seseorang atlet itu hanya bergantung kepada dirinya sahaja di samping bantuan rakan-rakan. Sorakan penonton menimbulkan rasa kepunyaan terhadap pasukan dan ia mampu mengubah semangat seseorang pemain itu untuk bermain demi penyokong.

Kredit foto: Reuters

Jika anda menonton perlawanan pusingan keempat kategori perseorangan wanita Kejohanan Tenis Wimbledon 2013 yang menemukan jaguh terkenal, Serena Williams dari Amerika Syarikat dengan pemain kurang ternama pada ketika itu, Sabine Lisicki dari Jerman. Dalam perlawanan itu, kita melihat bagaimana Lisicki menewaskan Serena dalam pertarungan tiga set.

Apa yang menarik ketika perlawanan itu, majoriti penonton memberikan sokongan kepada Lisicki, mereka seolah-olah mahu menyaksikan jaguh baharu muncul di Wimbledon. Setiap kali Lisicki mendapat mata atau mempamerkan aksi menarik, sorakan kuat bergema kepadanya, namun keadaan sebaliknya berlaku kepada Serena. Keadaan ini memberikan kesan psikologi terhadap prestasi Serena yang merasakan dirinya seperti berseorangan di dalam gelanggang.

Kredit foto: Liverpool FC

Begitu juga kita dapat melihat dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2019 apabila pasukan Liverpool mengalahkan Barcelona dengan jaringan 4-0, walaupun dalam perlawanan sebelum itu, Barcelona menang 3-0 dan mempunyai kelebihan dari segi agregat. Namun begitu, sorakan penonton di Anfield telah memberikan semangat dan kebangkitan luar biasa buat Liverpool dalam perlawanan berkenaan.

Bagi jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari sorakan diakui memberikan semangat, namun, beliau tidak begitu terkesan dengan situasi pandemik yang tidak membenarkan kemasukan penonton. Ini kerana selain kehadiran penyokong, sokongan dari dalam termasuk keluarga dan rakan-rakan sepasukan masih mencukupi untuknya meneruskan pertarungan. Dalam pada itu, Mohd Al Jufferi turut berkongsi kenangan indah yang dikecapi melalui sorakan penyokong.

-------------

Menurut Capo Boys of Straits (BOS), Dexter Awit (nama samaran), sebagai pemain ke-12 buat skuad bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), meskipun tidak dapat hadir ke stadium dalam tempoh pandemik ini semangat BOS tetap disalurkan sebaik mungkin menggunakan saluran media sosial seperti YouTube.

Sorakan dalam sukan bukan hanya memberi impak kepada atlet malah turut memberikan kesan positif terhadap penyokong yang cekal bersorak. Kajian akademik yang dijalankan oleh Daniel Wann di Universiti Murray State, Amerika Syarikat misalnya mendapati bahawa peminat tegar sukan mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak gemar menonton acara sukan. Malah dalam aspek ini, satu lagi kajian dijalankan oleh Universiti Ohio State mendapati tahap keyakinan diri seseorang penyokong akan bertahan sekurang-kurangnya dua hari selepas menonton aksi kemenangan pasukan kegemaran mereka.

Begitulah keunikan yang dapat dilihat dengan jelas dalam hubungan antara sukan dan sorakan, penyokong dan atlet. Ia sebuah hubungan unik yang tidak hanya melangkaui batas sokongan semata-mata, sebaliknya turut meninggalkan kesan psikologi yang mendalam dari sudut lebih positif. Sama-samalah kita berdoa semoga wabak COVID-19 berlalu segera serta sukan di seluruh dunia kembali meriah dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa yang sihat, bebas dan tidak meresahkan.

Metadata:
"Mengapa Sorakan Penting Dalam Sukan?" was posted on by the Rise Up Johor content team.
Articles section: 15200 views