Artikel

Sains Sukan

Perhubungan Muzik Dan Sukan

Muzik merupakan satu kuasa yang dapat menggerakkan emosi manusia. Akan tetapi, apakah kaitan muzik, satu cabang seni dengan dunia sukan yang amat fizikal dan aktif? Kita selami kajian Penasihat Kejurulatihan(Psikologi) Majlis Sukan Negeri Johor, Prof. Madya Dr. Garry Kuan mengenai jalinan positif alunan muzik dan prestasi atlet.

Pengertian dan fungsi muzik dalam kehidupan adalah pelbagai. Ini kerana muzik adalah salah satu ekspresi seni dalam kehidupan yang sangat anjal sifatnya. Muzik mempunyai kuasa tersendiri yang mampu merangsang minda, hati dan perasaan untuk berhubung dengan diri sendiri, orang sekeliling dan juga persekitaran. Muzik mampu mempengaruhi emosi bukan sahaja orang dewasa, bahkan bayi dan kanak-kanak. Anak kecil akan secara spontan berjoget, mengangguk kepala, menggerakkan tangan, kaki ataupun bergoyang apabila mendengar lagu. Inilah keajaiban muzik terhadap manusia.

Aizat berjoging sambil mendengar muzik.

Sejak kebelakangan ini, aktiviti bersukan boleh dikatakan menjadi ‘trend’ rakyat Malaysia. Tidak kira samada ianya dilakukan atas kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan diri atau terpengaruh dengan persekitaran, ianya adalah aktiviti yang berfaedah dan perlu diteruskan. Kelibat individu berjoging sambil mendengar muzik adalah satu pemandangan yang biasa pada hari ini. Di gimnasium juga, memasang muzik rancak dengan kadar bunyi yang kuat bukan lagi sesuatu yang merimaskan.

Di kejohanan sukan, majoriti atlet-atlet akan memasang headphone/ earphone untuk mendengar muzik sambil memanaskan badan sebelum pertandingan bermula. Ianya adalah isyarat tidak mahu diganggu kerana itulah masanya mereka menetapkan fokus terhadap pertandingan yang akan bermula serta ianya dapat membuatkan mereka berasa lebih tenang.

Pegawai psikologi sukan dalam sesi bersama atlet turut menggunakan muzik sebagai medium terapi yang boleh menenangkan emosi dan membuka perasaan mereka untuk meluahkan segala kegelisahan dan permasalahan.

Pakar Psikologi, Costas Karageorghis mengungkapkan muzik ialah “a type of legal performance-enhancing drug” ataupun dadah yang dibenarkan untuk sukan.
Menurut beliau, apabila seseorang atlet itu mendengar muzik semasa dalam larian, ia akan meningkatkan prestasi atlet tersebut sebanyak 15% berbanding keadaan biasa. Menurut kajian Smith dan Christensen pula yang dijalankan pada tahun 1992, ianya menyatakan bahawa mood yang melibatkan aspek kekuatan mental memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi seseorang individu atau atlet.

Pelumba basikal trek negara anak kelahiran Muar, Johor, Muhammad Shah Firdaus yang dihubungi di laman sosial turut berkongsi yang beliau memilih untuk mendengar muzik berentak heavy metal kerana mampu menjadi energy booster sebelum memulakan perlumbaan.

Penyataan ini juga menyokong kajian Smoll dan Schultz pada tahun 1982 bahawa irama merupakan komponen penting dalam kemahiran motor dan prestasi. Menurut kajian, rentak muzik juga boleh memberi kesan kepada pergerakan atlet. Oleh itu, jika atlet mendengar lagu rentak laju mereka mungkin lebih cenderung untuk meningkatkan pergerakan dalam kadar yang lebih cepat dan boleh meningkatkan prestasi (kajian dijalankan ke atas aktiviti berjalan dan berbasikal).

Syafiq bersiap sedia untuk memulakan senaman sambil mendengar muzik.

Muzik dan Sukan dari Perspektif Dr. Garry Kuan

Penasihat Kejurulatihan Majlis Sukan Negeri Johor, Prof. Madya Dr. Garry Kuan atau lebih mesra dipanggil Dr. Garry, merupakan Pensyarah Program Senaman dan Sains Sukan di Universiti Sains Malaysia. Beliau amat meminati muzik dan berkemampuan bermain beberapa alat muzik seperti viola, piano dan gitar.

Salah satu kajian yang dijalankan oleh Dr.Garry bertajuk Kuasa Muzik untuk Atlet dan Senaman Di Rumah: Menuju Norma Baharu.

Angka penularan Covid-19 yang tinggi sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak merisaukan semua pihak. Banyak gimnasium ditutup, kemudahan sukan awam pula tidak menjamin kebersihan untuk digunakan. Penetapan Standard Operation Procedur (SOP) yang menghadkan rakyat boleh bersenam secara individu atau berdua pastinya membantutkan sedikit kemeriahan beriadah namun begitu ia bukanlah alasan untuk tidak bersenam. Dengan iringan muzik, bersenam di rumah pun sudah memadai dan dengan adanya teknologi peranti mudah alih pada masa kini, setiap langkah larian anda pastinya tidak memenatkan.

Syafiq fokus mengangkat bebanan sambil mendengar muzik.

Kesihatan dan kestabilan mental amat penting untuk menentukan prestasi seseorang atlet. Peserta yang layak ke peringkat akhir mungkin mempunyai kemahiran yang sama namun kekuatan mental adalah kelebihan buat sang juara. Penjagaan emosi dan mental sejak dari fasa persediaan amat penting untuk meningkatkan motivasi atlet.

Secara umum, muzik mempunyai kuasa yang menyatukan. Ianya salah satu cabang seni yang universal, dinikmati oleh hampir setiap insan.

Memetik lagenda muzik 1940’an, Maria Von Trapp “Music acts like a magic key to which the most tightly closed heart opens”. Muzik boleh melahirkan persahabatan, menceriakan perasaan yang murung dan dalam konteks atlet – muzik adalah satu alat yang berkuasa untuk motivasi dan keyakinan seorang atlet.

Maria Von Trapp – Foto Kredit : Biography.com

Malah kajian yang dilakukan Runner’s World pada 2016 mendapati, 61 peratus mengakui mendengar muzik sambil berlari boleh membuatkan mereka lebih fokus. Manakala 82 peratus pula memberitahu mereka akan mendengar lagu daripada penyanyi kegemaran.

Untuk pembaca yang suka bersenam atau bersukan secara sosial, pasti anda sudah mempunyai rutin yang tetap ditemani playlist atau album-album kegemaran anda. Secara tidak disedari, rutin senaman kita mungkin sudah berubah dari 10 tahun lepas.

Contoh yang dikongsi oleh Dr. Garry adalah pada dekad yang lepas, seorang jogger meluangkan masa yang singkat untuk bersenam. Rutinnya bermula dengan pemanasan badan, kemudian meneruskan dengan larian. Kini, dengan hadirnya telefon pintar beserta koleksi muzik, masa yang mampu diluangkan untuk bersenam lebih panjang dan menyeronokkan.

Muzik merupakan sebahagian dari naluri manusia, badan kita bertindak balas dengan muzik secara semulajadi dengan pernafasan, pergerakan dan degupan jantung. Berbicara tentang manfaat muzik untuk prestasi sukan, muzik dapat meningkatkan kawalan adrenalin serta menurunkan tekanan darah dan persepsi kesukaran melakukan tugas. Malah, muzik memberi kesan kepada fungsi badan yang lebih baik contohnya fungsi fisiologikal yang lebih mantap, aliran darah yang stabil.

Prof. Madya Dr. Garry Kuan

Para pakar telah mencadangkan bahawa muzik boleh dipilih secara teliti untuk memadani kriteria aktiviti oleh individu atau sebuah kumpulan yang boleh membawa impak kepada pretasi dan motivasi. Terdapat beberapa kajian dan laporan yang telah diterbitkan menunujukkan muzik yang sesuai terbukti mendatangkan peningkatan semangat bertanding seseorang atlet atau pasukan.

Merujuk kajian Dr. Garry, antara lagu-lagu popular yang digunakan untuk bersukan dan bersenam digemari oleh kerana tempo yang sesuai dengan aktiviti, dan semangat yang dibawa oleh sesuatu lagu itu. Lagu epik oleh Queen, “We Are The Champions” membangkitkan semangat kejuaraan pendengar dan pada tempo 64 bpm, ianya merupakan lagu paling popular buat senaman dan acara sukan. Antara lagu-lagu lain yang popular adalah We Win As One, nyanyian Lea Salonga, The Best dari Tina Turner dan Reach dendangan S Club 7.

Freddie Mercury, Artis dari kumpulan Queen.

Secara kesimpulannya, muzik bukan sahaja mempunyai kuasa untuk menghubungkan manusia dari segi sosial, tetapi boleh digunakan sebagai “suntikan” tenaga di mana ianya memberi kesan kepada emosi kita, kadar degupan jantung dan juga boleh menjadi ‘jiwa’ sesebuah pasukan. Sebelum anda memulakan sesuatu senaman atau aktiviti, pastikan muzik yang dipilih akan memberi kesan positif kepada anda. Nescaya, senaman lebih seronok dan semangat.

Minggu hadapan kami akan kongsikan playlist #riseupjohor yang boleh anda dengarkan sewaktu bersenam.

Anda juga dialu-alukan untuk kongsikan jenis muzik dan lagu yang menjadi peneman anda ketika bersenam diruangkan komen facebook dan instagram @riseupjohor.

#RiseUpCommunity

Metadata:
"Perhubungan Muzik Dan Sukan" was posted on by the Rise Up Johor content team.
Articles section: 15761 views