Artikel

Sains Sukan

Perkasa Sains Sukan, Atlet Johor Unggul

Azlan Alfian berkongsi bagaimana beliau dan pasukan Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Johor meyumbang kepada prestasi atlet untuk beraksi di SUKMA Johor 2020.

Ketua Unit Pendidikan dan Sains Sukan, Azlan Alfian.

Mempunyai susuk tubuh tegap bagaikan seorang atlet, Muhammad Azlan Alfian Rosli yang mesra dipanggil ‘Coach Azlan’ merupakan Ketua Unit Pendidikan Sains Sukan, Majlis Sukan Negeri Johor(MSNJ). Memulakan perkhidmatannya sebagai Jurulatih Suaian Fizikal di MSNJ pada 2017 secara tunggal, Azlan berkongsi cabaran yang dilaluinya.

“Pada awalnya saya seorang sahaja yang ditawarkan untuk menguruskan hal-hal berkaitan sains sukan, itupun hanya bagi elemen Suaian Fizikal (strength and conditioning). Oleh kerana mereka (atlet dan jurulatih) tidak pernah berurusan dan menerima khidmat saya, pastinya ada jurang kepercayaan antara saya dan mereka”, katanya.

Menurutnya lagi, bagi memecahkan tembok keraguan dan membina kepercayaan atlet dan jurulatih kepadanya, dia mendekati mereka dengan melakukan pemantauan yang kerap buat sukan-sukan di bawah Program MSNJ dan meluangkan masa bersama para jurulatih bagi mendapatkan maklumat serta mengumpul data untuk dianalisa bagi tujuan merancang program yang lebih sesuai untuk atlet.

Ketua Jurulatih Suaian Fizikal, Abul Rahim Abdul Raof melatih atlet dengan penuh semangat.

Anak jati Johor ini memulakan kerjaya secara profesional dalam bidang Sains Sukan pada 2013 bersama Pasukan Suaian Fizikal Institut Sukan Negara (ISN) khusus sukan yang memerlukan explosive power seperti sukan berbasikal, olahraga dan angkat berat. Beliau telah diberi kepercayaan untuk membantu skuad basikal dan angkat berat negara bagi tempoh lebih kurang 3 tahun. Setelah itu, beliau pulang ke kampung halaman dan dilamar oleh MSNJ untuk memberi tumpuan dalam memantapkan prestasi atlet-atlet negeri Johor.

Azlan Alfian dan pasukan Sukan Sains Majlis Sukan Negeri Johor.

Memahami tuntutan kerja pasukan sains sukan yang padat dengan sesi latihan dan ujian-ujian kecergasan, pentadbiran MSNJ membuat keputusan membesarkan pasukan sains sukan dengan menambah beberapa pembantu jurulatih suaian fizikal. Keupayaan pasukan ini diluaskan lagi dengan kemasukan dua Pegawai Pemakanan Sukan (sports nutritionist) dan Pegawai Psikologi Sukan (sports psychologist) yang sebelum ini pernah berkhidmat di ISN.

“Pasukan Sains Sukan MSNJ semakin besar. Daripada saya seorang, sekarang kami bertujuh dan pastinya kerja kami menjadi lebih efisyen dan tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih baik”, kata Azlan yang pernah memenangi pingat emas dan memegang rekod SUKMA di tiga edisi berturut-turut (2004, 2006 dan 2008).

Katanya lagi, “Ada beberapa situasi kadang-kalanya atlet yang fizikalnya sudah di tahap terbaik, dan ada juga yang seakan kebal di dalam gelanggang sewaktu sesi latihan dan kejohanan persediaan tetapi menghadapi masalah gugup dan ketakutan yang melampau di kejohanan sebenar hingga mengganggu prestasi. Jadi dengan adanya Pegawai Psikologi Sukan, kita boleh bantu atlet-atlet untuk atasi masalah ini”

Pakar Pemakanan Sukan, Risnainy Mat Zain memastikan yang atlet mendapat nutrisi sebetulnya demi prestasi terbaik mereka.

Sumbangan sains sukan dalam meningkatkan prestasi atlet tidak boleh disangkal lagi kerana hampir semua negara kuasa besar sukan seperti Jepun, Australia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Great Britain menjadikan sains sukan dan teknologi sukan sebagai satu pelaburan yang terbukti mendatangkan hasil.

“Di Malaysia, sains sukan bukan lagi bidang yang baru atau asing. Di Bukit Jalil, prestasi atlet-atlet negara semakin bagus dengan adanya sokongan sains sukan. Kita mahu lakukan perkara yang sama di peringkat negeri kerana kami percaya untuk melahirkan generasi atlet muda yang boleh dipanggil pelapis kepada atlet negara, kita perlu mendidik dan biasakan mereka dengan perkhidmatan berkualiti yang boleh membantu tingkatkan prestasi mereka”

Menurut Azlan lagi, sains sukan bukanlah satu-satunya faktor kejayaan atlet, tetapi untuk berjaya sains sukan adalah antara faktor yang wajib diberi penekanan. Jurulatih sukan akan mengajar segala teknik dan taktikal dalam sukan masing-masing, manakala tugas pasukan sains sukan adalah untuk melengkapkan seorang atlet itu dengan membantu memberikan sokongan dari segi membentuk fizikal yang kukuh, memberikan nutrisi yang lengkap, psikologi yang mantap dan beberapa elemen lain lagi untuk melengkapkan seorang atlet yang unggul.

Tugas pasukan Sains Sukan MSNJ tidak kunjung rehat demi persiapan SUKMA 2020.

MSNJ juga sedang dalam proses menyiapkan gimnasium suaian fizikal kedua seumpama ‘The Cage’ di Kluang yang bakal siap awal tahun 2020. Ianya adalah usaha MSNJ untuk memastikan atlet-atlet negeri Johor yang berlatih di daerah Kluang serta di Batu Pahat dapat memanfaatkan perkhidmatan sains sukan.

MSNJ turut memberi penekanan dalam membangunkan modal insan seperti menyediakan kursus-kursus kejurulatihan dan sains sukan untuk jurulatih-jurulatih dan penggiat sukan negeri Johor agar kaedah latihan yang lebih sistematik dan saintifik dapat dikuasai.

Tambah Azlan, penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pengarah MSNJ, En. Mohd Gadaffie Abd Aziz dan Encik Mohammad Syafiq Hassan (Ketua Unit Atlet & Sains Sukan dan Unit SUKMA) yang percaya kepada fungsi sains sukan serta mempunyai pandangan jauh seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin menjadikan Johor sebagai Kuasa Era Baru Sukan Negara.

Pasukan Sains Sukan MSNJ komited terhadap kegemilangan atlet Johor.

Sebanyak 26 sukan telah menerima perkhidmatan sains sukan yang terdiri daripada ujian kecergasan fizikal, latihan suaian fizikal, rehabilitasi dan pemulihan sukan, pemakanan sukan, psikologi sukan serta pemantauan secara berkala. Seramai lebih 637 orang atlet telah menerima perkhidmatan sains sukan termasuk atlet dan peserta TID (talent identification) sepanjang November 2018 hingga November 2019. Dengan adanya pasukan Sains Sukan menyokong perkembangan atlet-atlet Johor, kontinjen Darul Takzim pastinya bakal menakluk SUKMA 2020 nanti.

Metadata:
"Perkasa Sains Sukan, Atlet Johor Unggul" was posted on by the Rise Up Johor content team.
Articles section: 8868 views

Countdown To The 20th Sukma Games

SUKMA 2020 Maskot