Artikel

Sains Sukan

Treadmill Atau Outdoor?

Berlari memberikan kita kelebihan besar dari segi kesihatan, di samping meningkat stamina ia juga membantu memberikan tahap kesihatan lebih baik. Malah jika ia dilakukan dengan kerap dan konsisten, manfaatnya adalah lebih besar. Cuma bagi anda yang berkemampuan atau sering ke gimnasium untuk menggunakan treadmill, adakah ia memberikan faedah lebih banyak berbanding berlari di luar atau sebaliknya? Di sini kita cuba merungkai fakta dan manfaat kedua-dua kaedah larian ini.

Kajian dijalankan oleh Van Ingen Schenau (1980) mendapati larian di luar rumah dan yang menggunakan treadmill mempunyai persamaan dari sudut mekanik, khususnya apabila larian itu berlangsung pada kadar perlahan (Morin & Se’ve 2011). Sementara itu, kajian oleh NYU Langone Health Sports Perfomance Centre di New York, larian di luar dapat memberi kesan positif terhadap perkembangan otot memandangkan ia merangsang penggunaan otot secara lebih aktif berbanding larian di dalam rumah.

Di samping itu, larian di luar juga menggunakan tenaga lebih banyak kerana keadaan persekitaran yang pelbagai dan kuasa pada larian juga bergantung kepada diri kita sendiri, tetapi keadaannya adalah sedikit mudah jika anda menggunakan treadmill kerana larian anda turut dibantu oleh pergerakan mesin (Runnersworld 2021). Namun begitu, kajian yang dijalankan oleh Universiti Exeter pula mendapati disebabkan treadmill mempunyai keupayaan untuk menetapkan kadar larian, maka penggunaan tenaga untuk treadmill boleh diselaraskan untuk menyamai tahap larian di luar (BBC 2016).

Satu kelebihan utama menggunakan treadmill adalah kerana ia membolehkan larian dilakukan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian kita. Ini kerana ia dilakukan di dalam rumah atau gimnasium dan kita boleh berlari walaupun ketika cuaca hujan.

Namun begitu, larian di luar pula tetap mempunyai kelebihan tersendiri kerana persekitarannya memberikan kita kesegaran ketika berlari. Termasuk menghirup udara nyaman, melihat alam yang damai dan menguji kekuatan fizikal dalam keadaan berbeza. Pengalaman berlari di luar ini sukar diganti dengan treadmill kerana pengalaman yang dilalui setiap hari adalah berbeza dengan pemandangan yang pelbagai, tambahan pula jika larian itu dilakukan di kawasan yang cantik seperti di taman yang berada di pinggir tasik.

Hal ini bersesuaian dengan kajian dijalankan oleh Hsiao-Pu Yeh et al. (2017) yang mendapati aktiviti senaman yang dilakukan berasaskan latar belakang alam semula jadi mampu meningkatkan rasa gembira dan ceria seseorang selepas aktiviti berkenaan selesai dijalankan. Larian menggunakan treadmill walaupun mudah dan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, namun ia kadangkala akan menyebabkan kita bosan kerana tiada apa-apa yang menarik untuk diperhatikan semasa berlari.

Satu perkara penting yang berkaitan dengan larian ialah keupayaan untuk mengawal kelajuan langkah. Keadaan ini sangat penting bagi memastikan larian adalah bertepatan dengan kondisi tubuh sendiri, contohnya jika anda mempunyai masalah kesihatan dan kecederaan, kadar larian anda perlu ditetapkan pada kedudukan lebih perlahan. Keadaan ini menjadi kelebihan jika anda menggunakan treadmill kerana anda dapat menentukan dengan tepat kelajuan langkah larian. Jika anda memilih larian di luar, ketepatan itu mungkin tidak sama, namun anda masih tetap boleh mengukur kadar kelajuan langkah berdasarkan kepada pelbagai aplikasi yang muncul.

Hakikatnya tidak ada apa-apa yang salah jika anda memilih untuk berlari menggunakan treadmill atau di luar rumah kerana kedua-duanya dilakukan atas niat untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan diri. Namun begitu, adalah penting untuk anda mengimbangi kedua-dua kaedah ini kerana setiap daripadanya mempunyai faedah tersendiri. Misalnya jika anda berada di fasa pemulihan kecergasan, tidak mempunyai masa mencukupi atau cuaca di luar tidak mengizinkan, maka larian menggunakan treadmill adalah pilihan terbaik.

Jika anda berkeinginan untuk mencapai tahap stamina lebih baik, anda mempunyai jadual senaman yang konsisten dan cuaca serta persekitaran memihak kepada anda, maka pilihlah untuk membuat larian di luar kerana ia memberikan pengalaman yang baik dan berbeza.

Rujukan

Morin, J.B & Se’ve, P (2011). Sprint running perfomance: Comparison between treadmill and field conditions. European Journal of Applied Physiology 111:1695-1703
https://www.runnersworld.com/training/a20846772/how-effective-is-treadmill-running-compared-to-running-outside/
https://www.bbc.com/news/magazine-35399598
Hsio-Pu Yeh et al. (2017). Physical and emotional benefits of different exercise environments designed for treadmill running. International Journal of Environmental Research and Public Health 14:752

Metadata:
"Treadmill Atau Outdoor?" was posted on by the Rise Up Johor content team.
Articles section: 15201 views